Allah SWT berfirman:
"Di sanalah Zakaria berdoa kepada Tuhannya seraya berkata: 'Ya
Tuhanku, berilah aku dari sisi Engkau seorang anak yang baik. Sesungguhnya
Engkau Maha Pendengar doa. Kemudian Malaikat (Jibril) memanggil Zakaria, sedang
ia tengah berdiri melakukan solat di mihrab (katanya): 'Sesungguhnya Allah
menggembirakan kamu dengan kelahiran (seorang puteramu) Yahya, yang membenarkan
kalimat (yang datang) dari Allah, menjadi ikutan, menahan diri (dari hawa
nafsu) dan seorang nabi termasuk keturunan orang-orang soleh." (QS. Ali
'Imran: 38-39)
"Hai Yahya, ambilah al-Kitab (Taurat) itu dengan sungguh-sungguh. Dan
Kami berikan kepadanya hikmah selagi ia masih anak-anak, dan rasa belas kasihan
yang mendalam dari sisi Kami dan kesucian (dari dosa). Dan ia adalah seorang
yang bertakwa, dan banyak berbakti kepada kedua orang tuanya, dan bukanlah ia
orang yang sombong dan derhaka. Kesejahteraan atas dirinya pada hari ia
dilahirkan, dan pada hari itu ia meninggal dan pada hari ia dibangkitkan
kembali." (QS. Maryam: 12-15)
"Hai Zakaria, sesungguhnya Kami memberi khabar gembira kepadamu akan
(memperoleh) seorang anak yang namanya Yahya, yang sebelumnya Kami belum pernah
menciptakan orang yang serupa dengan dia." (QS. Maryam: 7)
Inilah Yahya seorang Nabi yang Allah SWT bersaksi bahawa sebelumnya tak
seorang pun yang serupa dengannya. Yaitu seorang Nabi yang Allah SWT berkata
tentangnya:
"Dan rasa belas kasihan yang mendalam dari sisi Kami." (QS.
Maryam: 13)
Sebagaimana Khidir diberi ilmu dari sisi Allah SWT, maka Yahya diberi rasa
cinta dari sisi Allah SWT. Al-Hanan ialah ilmu yang luas yang terkandung di
dalamnya sesuatu kecintaan yang dalam terhadap makhluk dan alam. Hanan ialah
salah satu dari tingkat cinta yang bersumber dari ilmu. Yahya adalah seorang
Nabi yang menjadi cermin dari ibadah, zuhud, dan cinta. Nabi Yahya
mengungkapkan cinta kepada semua makhluk. Ia dicintai oleh manusia,
burung-burung, binatang buas, bahkan gurun dan gunung. Darah Nabi Yahya
tertumpah ketika beliau berusaha mempertahankan kebenaran yang disampaikannya
di istana raja yang lalim. Peristiwa tragis itu berkaitan dengan seorang penari
pelacur. Para ulama banyak menyebutkan keutamaan Yahya. Yahya hidup sezaman
dengan Nabi Isa dan termasuk kerabat dekatnya dari sisi ibu (anak bibinya).
Ada hadis yang meriwayatkan bahawa Yahya dan Isa pernah bertemu pada suatu
hari. Lalu Isa berkata kepada Yahya, mintakanlah ampun bagiku wahai Yahya.
Sesungguhnya engkau lebih baik daripada aku. Yahya berkata: "Mintakanlah
ampun bagiku wahai Isa kerana engkau lebih baik daripada aku." Isa
berkata: "Tidak, engkaulah yang lebih baik daripada aku. Engkau
mengucapkan salam kepadaku sedangkan Allah SWT mengucapkan salam
kepadamu." Kisah tersebut menunjukkan keutamaan Yahya ketika Allah
S"WT menyampaikan salam kepadanya pada hari ia dilahirkan, pada hari ia
mati, dan pada hari ia dibangkitkan kembali dalam keadaan hidup. Diriwayatkan
bahawa Rasulullah saw pernah pergi dan menemui para sahabatnya. Pada suatu
hari, beliau mendapati mereka sedang menyebut-nyebut keutamaan para nabi. Ada
yang mengatakan, Musa kalimullah (seorang nabi yang diajak bicara oleh Allah
SWT). Ada yang mengatakan, Isa ruhullah (tiupan roh Allah SWT). Dan ada juga
yang mengatakan, Ibrahim khalilullah (seorang kekasih Allah SWT).
Demikianlah para sahabat berbicara tentang para nabi lalu Rasulullah saw
menemui mereka. Ketika Rasul saw mendapati mereka tidak menyebut nama Yahya,
beliau berkata: "Di manakah putera seorang syahid yang mendapatkan banyak
penderitaan, yang memakan pohon kerana takut dosa, di manakah Yahya bin
Zakaria."
Sementara itu, datanglah musim semi di Palestina dan bumi tampak semakin
menghijau dan langit semakin terang. Bulan dengan cahayanya menembus
puncak-puncak pohon dan kebun. Bunga-bunga mawar dan jeruk semakin berkembang
dan baunya tersebar ke udara. Dan burung- burung yang sedang berterbangan
tampak bernyanyi dan melantunkan lagu-lagu kegembiraan di tengah-tengah suasana
yang ceria dan penuh keindahan.
Kemudian lahirlah Yahya. Kelahiran Yahya dipenuhi banyak mukjizat. Beliau lahir
pada saat ayahnya Zakaria berusia lanjut sehingga tampak seakan-akan ia putus
asa kerana tidak akan mempunyai keturunan. Beliau lahir melalui doa yang suci
yang bersumber dari hati Nabi Zakaria yang suci dan tulus. Nabi Yahya lahir di
tengah-tengah masa yang dipenuhi dengan puncak kesucian sebagaimana juga
dihiasi dengan puncak kelaliman. Maryam adalah simbol puncak kesucian di
zamannya. Mihrabnya penuh dengan bau yang harum yang memancarkan kalimat-
kalimat solat yang terus menerus dan zikir yang bersumber dari hati yang suci.
Masjid tampak dipenuhi dengan gelombang orang-orang yang solat dan orang-orang
mukmin yang berzikir. Namun nun jauh di sana kelaliman tetap membunyikan
genderangnya.
Yahya dilahirkan dan masa kecilnya tidak seperti lazimnya masa yang dilalui
oleh anak-anak. Umumnya anak-anak saat itu bermain hal-hal yang tidak berguna,
sedangkan Yahya tampak serius sejak beliau kecil. Anak-anak kecil saat itu
merasa senang dan terhibur ketika mereka menyeksa binatang, sementara Yahya
justru memberi makan bintang- binatang dan burung dari makanannya sebagai
bentuk belas kasihan darinya, bahkan terkadang Yahya sendiri makan dari
daun-daun pohon atau buahnya. Ketika beliau menginjak usia dewasa, maka cahaya
wajahnya semakin bersinar dan hatinya penuh dengan hikmah dan cinta kepada
Allah SWT serta kedamaian. Yahya adalah seseorang yang menyukai membaca sejak
usia dini. Beliau rajin membaca dan menggali ilmu. Ketika beliau masih kecil,
Allah SWT memanggilnya: "Hai Yahya, ambilah al-Kitab (Taurat) itu dengan
sungguh-sungguh. Dan Kami berikan kepadanya hikmah selagi ia masih
anak-anak."
Yahya mendapatkan perintah—saat beliau masih kecil—untuk mengambil Kitab
dengan kekuatan. Yakni, hendaklah ia belajar kitab dengan penuh ketelitian,
Yaitu kitab syariat. Allah SWT memberinya kemampuan untuk mengetahui syariat
dan memutuskan perkara manusia saat beliau masih kecil. Yahya adalah orang yang
paling alim di zamannya dan paling banyak menerima hikmah. Beliau mempelajari
syariat secara sempurna. Oleh kerana itu, Allah SWT memberinya kekuasaan saat
beliau masih kecil. Beliau mampu menyelesaikan persoalan di antara manusia dan
menjelaskan mereka rahsia-rahsia agama, bahkan beliau mengenalkan mereka jalan
kebenaran dan mengingatkan mereka dari jalan kesalahan atau kebatilan. Kemudian
Yahya semakin dewasa dan ilmunya makin bertambah serta kasih sayangnya pun
makin meningkat, baik kepada kedua orang tuanya mahupun kepada binatang. Kasih
sayang Nabi Yahya meliputi segala sesuatu.
Beliau mengajak manusia untuk bertaubat dari dosa mereka; beliau memandikan
mereka di sungai Jordania agar mereka menyucikan diri mereka dengan taubat;
beliau mengajak mereka untuk menyembah Allah SWT. Di sana tidak terdapat
seseorang yang tidak suka kepada Yahya atau menginginkan keburukan baginya.
Yahya adalah seseorang yang sangat dicintai oleh masyarakatnya kerana ia memang
seorang yang penyayang, seorang yang bertakwa, seorang yang alim, dan seorang
yang berbudi mulia. Beliau keluar dan pergi ke gunung dan kebun bahkan gurun
dan tinggal di dalamnya selama berbulan-bulan untuk menyembah Allah SWT dan
menangis di hadapan-Nya serta solat. Beliau merasakan kedamaian di daratan,
bahkan beliau tidak memperhatikan makanannya. Beliau makan dari daun-daun pohon
dan minum dari air sungai. Bahkan beliau makan belalang dan juga rumput. Beliau
tidur di gua mana pun yang ditemuinya di gunung dan lubang mana pun yang
didapatinya di bumi.
Terkadang beliau masuk di suatu gua gunung lalu beliau menemukan binatang
buas di dalamnya seperti serigala atau singa namun kerana kesibukannya dan
konsentrasinya saat berzikir kepada Allah SWT dan solat sehingga beliau tidak
lagi memperhatikan serigala atau singa. Serigala dan singa itu melihat Nabi
Yahya lalu mereka mengetahui bahawa ini adalah seorang Nabi Allah SWT yang
sangat berbelas kasih kepada binatang, maka binatang-binatang buas itu
menundukkan kepalanya dan meninggalkan tempat itu dengan tenang sehingga Nabi
Yahya tidak mendengar suara mereka.
Pada kesempatan yang lain, Nabi Yahya memberi makan binatang- binatang buas
dengan penuh kasih sayang. Bahkan beliau tidak makan di malam harinya kerana
makanannya diberikan kepada binatang-binatang itu. Beliau merasa puas saat
menjadikan solat dan zikir sebagai makanan dari hatinya sebelum beliau memberi
makanan pada tubuhnya. Beliau makan dari daun-daun pohon. Beliau bermalam atau
bergadang dalam keadaan air matanya berlinangan saat berzikir kepada Allah SWT
dan tenggelam dalam lautan cinta dan bersyukur kepada-Nya. Ketika Nabi Yahya
berdiri di depan manusia untuk mengajak mereka menyembah Allah SWT, maka beliau
mampu membuat mereka menangis kerana cinta dan khusyuk. Beliau mampu
mempengaruhi hati mereka dengan kebenaran yang dibawanya dan beliau menampakkan
bahawa beliau memang dekat dengan Allah SWT.
Pada suatu hari, Nabi Yahya keluar menemui manusia. Masjid tampak ramai
dipenuhi orang-orang. Nabi Yahya berdiri dan beliau mulai berbicara:
"Sesungguhnya Allah SWT memerintahkan aku untuk menyampaikan
kalimat-kalimat yang telah aku kerjakan dan aku telah memerintahkan kalian
untuk juga mengerjakannya. Hendaklah kalian menyembah Allah SWT dan tidak
menyekutukan-Nya. Barang siapa yang menyekutukan Allah SWT dan menyembah
selain-Nya, maka ia seperti seorang budak yang dibeli oleh majikannya lalu ia
bekerja dan memberikan tenaganya kepada tuan selain tuannya. Siapakah di antara
kalian yang ingin memiliki budak seperti itu. Dan aku memerintahkan kalian
untuk melaksanakan solat. Sesungguhnya Allah SWT melihat hamba-Nya saat ia
solat. Oleh kerana itu, jika kalian solat, maka hendaklah kalian berusaha untuk
khusyuk. Aku pun memerintahkan kalian untuk berpuasa, maka siapa yang melakukan
demikian, maka ia seperti seseorang lelaki yang mempunyai bingkisan dari misik
yang baunya harum. Setiap lelaki ini berjalan, maka akan terpancarlah bau harum
misik darinya. Aku pun memerintahkan kalian agar banyak melakukan zikir kepada
Allah SWT, maka orang seperti itu seperti seorang lelaki yang dicari-cari oleh
musuhnya lalu ia segera berlindung dalam benteng yang kuat. Dan benteng yang
paling kuat adalah zikrullah dan tiada keselamatan tanpa benteng itu."
Nabi Yahya mengakhiri nasihatnya lalu ia turun dari mimbar dan kembali ke
gurun. Di gurun itu hanya terdapat pasir yang berterbangan dan tiada suara lain
selain suara angin dan nafas pohon serta suara kaki-kaki binatang buas dan
gerakan batu-batu gunung. Di sanalah Yahya berdiri di tengah-tengah kesunyian
ini. Beliau melaksanakan solat dan menangis.
Kemudian terjadilah pergelutan hebat antara Nabi Yahya dan pemerintah yang
berkuasa. Salah seorang penguasa di zaman itu adalah seorang yang lalim dan
sempit akalnya. Kerosakan tersebar di istananya. Ia mendengar berita tentang
Yahya. Ia heran kerana banyaknya manusia yang memberikan penghargaan dan
penghormatan yang luar biasa kepada Yahya sedangkan ia sebagai seorang raja
tidak mendapatkan penghormatan yang demikian besar.
Raja tersebut ingin memperkosa isteri saudaranya di mana ia mempunyai anak
perempuan yang memiliki kecantikan yang terkenal. Dalam cerita disebutkan
bahawa anak perempuan itu mampu melakukan tarian yang mengagumkan sambil
memakai tujuh helai baju. Setiap ia menari, maka terlepaslah setiap baju yang
dipakainya dan pada tarian yang terakhir, ia tampak dalam keadaan telanjang.
Raja bertanya kepada Yahya, apakah ia boleh menikahi isteri saudaranya.
Yahya menjawab, itu tidak diperbolehkan. Raja tetap berbicara kepada Yahya dan
mendesak kepadanya agar membolehkannya menikah dengan wanita yang disukainya
itu, dan hendaklah Yahya mencari solusi atau fatwa yang sangat memuaskannya.
Namun Yahya menolak keras untuk memenuhi permintaan raja itu. Kemudian Yahya
pun meninggalkannya. Akhirnya, raja tampak marah kepada Yahya dan memerintahkan
agar Yahya dipenjara. Kemudian raja itu pun memperkosa isteri saudaranya. Anak
perempuan wanita itu yang suka menari telah melihat Yahya saat ia berbicara
dengan raja. Anak perempuan itu sangat tertarik akan ketampanan Yahya dan
keagungan keperibadiannya.
Ringkasnya, wanita yang ahli menari itu pun merasa jatuh cinta kepada
Yahya. Ia pergi menemui Yahya di penjaranya dan ia melihat Yahya dalam keadaan
duduk solat dan menangis. Wanita itu terus mengawasi Yahya saat beliau solat
sampai selesai. Lalu ia meletakkan dirinya di bawah kaki Yahya dan memintanya
agar mencintainya sebagaimana ia mencintai Yahya. Yahya menjawab bahawa di
dalam hatinya tidak ada cinta lain selain cinta kepada Allah SWT. Wanita itu
pun bangkit dari tempatnya dalam keadaan putus asa. Ia meninggalkan Yahya dalam
keadaan hatinya dipenuhi kebencian padanya. Ia kembali ke istana raja.
Waktu Isyak telah berakhir. Raja mulai meminum minuman kesukaannya, yaitu
khamr. Wanita itu memberikan minum kepada raja. Makin banyaknya raja minum,
sampai-sampai raja merasa bahawa kepalanya seperti belon besar dan ia sebentar
lagi akan terbang. Di sanalah wanita penari itu segera memakai pakaian tarian
dan kembali kepada raja. Raja melihatnya dan ia merasa kepalanya bertambah
besar dan wanita itu mulai menari. Lalu dipukullah rebana dan berbagai alat
muzik sehingga wanita itu tampak menari dan menikmati tariannya. Pada tarian ke
tujuh ia berhenti lalu membuka wajahnya sambil berkata kepada raja: "Wahai
tuanku, aku ingin bertanya sedikit kepadamu." Raja yang sedang mabuk itu
berkata: "Segala sesuatu yang engkau inginkan akan kuberikan kepadamu
sekarang juga." Wanita itu berkata: "Aku menginginkan kepala Yahya
bin Zakaria."
Mendengar perkataan itu, raja segera sadar dari mabuknya lalu ia merasakan
ketakutan. Ia berkata kepadanya: "Mintalah kepadaku yang lain saja."
Wanita itu berkata: "Aku menginginkan darah Yahya bin Zakaria."
Wanita ini adalah simbol keburukan. Raja berkata sambil minum minuman keras
yang keempat kalinya setelah empat puluh kali: "Bunuhlah Yahya!" Akhirnya,
pemimpin pasukan raja mengeluarkan perintah kepada anak buahnya untuk
menghabisi Yahya. Kemudian Yahya menemui ajalnya secara tragis dan meneguk madu
syahadah.
Injil Mata pada pasal yang keempat belas menyebutkan suatu riwayat sebagai
berikut:
"Hirdus telah menangkap Yuhana lalu ia memasukkan ke dalam penjara
kerana Hirduya isteri dari saudaranya. Sebab Yuhana berkata kepadanya, engkau
tidak boleh mengambilnya sebagai isterimu. Ia ingin membunuh Yuhana tetapi ia
khuatir terhadap reaksi masyarakat kerana mereka menganggapnya sebagai seorang
Nabi. Ketika diadakan acara kelahiran Hirdus salah seorang perempuan anak dari
Hirduya menari di tengah-tengah para hadirin sehingga Hirdus merasa kagum,
kerananya kemudian ia bersumpah bahawa apa pun yang diminta penari itu akan
diturutinya. Wanita itu berkata: "Berikanlah kepadaku kepala Yuhana."
Sebetulnya raja itu keberatan tetapi ia sudah terlanjur bersumpah dan
disaksikan orang-orang di sekitarnya, maka ia pun memerintahkan agar permintaan
wanita itu dituruti. Kemudian kepala Yuhana dikirim dari penjara, dan diberikan
kepada gadis itu, lalu gadis itu membawanya kepada ibunya."






0 Komentar:
Posting Komentar