“Wahai saudaraku!
Jangan engkau dekati Muhammad itu. Dia orang gila. Dia pembohong. Dia tukang
sihir. Jika engkau mendekatinya, engkau akan dipengaruhinya dan engkau akan
menjadi seperti dia,” kata seorang pengemis buta Yahudi berulang-ulang kali di
satu sudut pasar di Madinah pada setiap pagi sambil tangannya menadah meminta
belas orang yang lalu-lalang.
Orang yang lalu-lalang di pasar itu
ada yang menghulurkan sedekah kerana kasihan malah ada juga yang tidak
mempedulikannya langsung.
Pada setiap pagi, kata-kata
menghina Rasulullah SAW itu tidak lekang daripada mulutnya seolah-olah
mengingatkan kepada orang ramai supaya jangan terpedaya dengan ajaran
Rasulullah SAW. Seperti biasa juga, Rasulullah SAW ke pasar Madinah. Apabila
baginda sampai, baginda terus mendapatkan pengemis buta Yahudi itu lalu
menyuapkan makanan ke mulutnya dengan lembut dan bersopan tanpa berkata
apa-apa.
Pengemis buta Yahudi yang tidak
pernah bertanya siapakah yang menyuapkan itu begitu berselera sekali apabila
ada orang yang baik hati memberi dan menyuapkan makanan ke mulutnya.
Perbuatan baginda itu dilakukannya
setiap hari sehinggalah baginda wafat. Sejak kewafatan baginda, tidak ada
sesiapa yang sudi menyuapkan makanan ke mulut pengemis itu setiap pagi.
Pada satu pagi, Saidina Abu Bakar
ra pergi ke rumah anaknya, Siti Aisyah yang juga merupakan isteri Rasulullah
SAW untuk bertanyakan sesuatu kepadanya.
“Wahai anakku Aisyah, apakah
kebiasaan yang Muhammad lakukan yang aku tidak lakukan?”, tanya Saidina Abu
Bakar ra sebaik duduk di dalam rumah Aisyah.
“Ayahandaku, boleh dikatakan apa
sahaja yang Rasulullah lakukan, ayahanda telah lakukan kecuali satu,” beritahu
Aisyah sambil melayan ayahandanya dengan hidangan yang tersedia.
“Apakah dia wahai anakku, Aisyah?”
“Setiap pagi Rasulullah akan
membawa makanan untuk seorang pengemis buta Yahudi di satu sudut di pasar
Madinah dan menyuapkan makanan ke mulutnya. Sejak pemergian Rasulullah, sudah
tentu tidak ada sesiapa lagi yang menyuapkan makanan kepada pengemis itu,”
beritahu Aisyah kepada ayahandanya seolah-olah kasihan dengan nasib pengemis
itu.
“Kalau begitu, ayahanda akan
lakukan seperti apa yang Muhammad lakukan setiap pagi. Kamu sediakanlah makanan
yang selalu dibawa oleh Muhammad untuk pengemis itu,” beritahu Saidina Abu
Bakar ra kepada anaknya.
Pada keesokan harinya, Saidina Abu
BAkar ra membawakan makanan yang sama seperti apa yang Rasulullah SAW bawakan
untuk pengemis itu sebelum ini. Setelah puas mencari, akhirnya beliau bertemu
juga dengan pengemis buta itu. Saidina Abu Bakar ra segera menghampiri dan
terus menyuapkan makanan ke mulut pengemis itu.
“Hei… Siapakah kamu? Berani kamu
menyuapku?” Pengemis buta itu mengherdik Saidina Abu Bakar ra. Pengemis buta
itu terasa lain benar perbuatan Saidina Abu Bakar ra itu seperti kebiasaan.
“Akulah orang yang selalu menyuapmu
setiap pagi,” jawab Saidina Abu Bakar ra sambil memerhatikan wajah pengemis
buta itu yang nampak marah.
“Bukan! Kamu bukan orang yang
selalu menyuapku setiap pagi. Perbuatan orang itu terlalu lembut dan bersopan.
Aku dapat merasakannya, dia terlebih dahulu akan menghaluskan makanan itu kemudian
barulah menyuap ke mulutku. Tapi kali ini aku terasa sangat susah aku hendak
menelannya,” balas pengemis buta itu lagi sambil menolak tangan Saidina Abu
Bakar ra yang masih memegang makanan itu.
“Ya, aku mengaku. Aku bukan orang
yang biasa menyuapmu setiap pagi. Aku adalah sahabatnya. Aku menggantikan
tempatnya,” beritahu Saidina Abu Bakar ra sambil mengesat air matanya yang
sedih.
“Tetapi ke manakah perginya orang
itu dan siapakah dia?”, tanya pengemis buta itu.
“Dia ialah Muhammad Rasulullah. Dia
telah kembali ke rahmatullah. Sebab itulah aku yang menggantikan tempatnya,”
jelas Saidina Abu Bakar ra dengan harapan pengemis itu berpuas hati.
“Dia Muhammad Rasulullah?”, kata
pengemis itu dengan suara yang terkedu.
“Mengapa kamu terkejut? Dia insan
yang sangat mulia,” beritahu Saidina Abu Bakar ra. Tidak semena-mena pengemis
itu menangis sepuas-puasnya. Setelah agak reda, barulah dia bersuara.
“Benarkah dia Muhammad
Rasulullah?”, pengemis buta itu mengulangi pertanyaannya seolah-olah tidak
percaya dengan berita yang baru didengarnya itu.
“Ya benar. Kamu tidak percaya?”
“Selama ini aku menghinanya, aku
memfitnahnya tetapi dia sedikit pun tidak pernah memarahiku malah dia terus
juga menyuap makanan ke mulutku dengan sopan dan lembut. Sekarang aku telah
kehilangannya sebelum sempat memohon ampun kepadanya,” ujar pengemis itu sambil
menangis teresak-esak.
“Dia memang insan yang sangat
mulia. Kamu tidak akan berjumpa dengan manusia semulia itu selepas ini kerana
dia telah pun meninggalkan kita,” beritahu Saidina Abu Bakar ra.
“Kalau begitu, aku mahu kamu
menjadi saksi. Aku ingin mengucapkan kalimah syahadah dan aku memohon keampunan
Allah,” ujar pengemis buta itu.
Selepas peristiwa itu, pengemis itu
telah memeluk Islam di hadapan Saidina Abu Bakar ra. Keperibadian Rasulullah
SAW telah memikat jiwa pengemis itu untuk mengakui ke-Esaan Allah..






0 Komentar:
Posting Komentar